Khamis, 12 Julai 2012

Hasil Tulisan Usman Awang




Jiwa Hamba/Enslaved Soul (2009), ISBN 978-983-068-310-2
Buku ini adalah sebuah antologi puisi dwibahasa kompilasi yang berunsur patriotik ini mengandungi 35 buah puisi-puisi beliau. Antara karya yang masyhur diselitkan juga dengan beberapa karya awal beliau yang hanya pernah diterbitkan di akhbar dan majalah sekitar tahun 50-an.
Suara penanya menggambarkan harapan dan impian sebuah bangsa yang negaranya terjajah.



Tulang-Tulang Berserakan (2006), ISBN 978-983-3742-00-9
Satu-satunya novel karya beliau yang berkisar antara pengalaman hidupnya sebagai seorang anggota polis yang bertugas di negeri Melaka pada Zaman Darurat yang penuh dengan keganasan, pembunuhan, penderitaan, ketakutan dan kesengsaraan hidup rakyat. Yang menjadi pokok ceritanya ialah perjuangan sepasukan Polis Hutan atau Jungle Squad menentang pengganas Komunis yang bersembunyi di sebalik hutan belantara.
Akan tetapi jika diteliti dengan lebih luas, nyata benar Usman Awang mengisahkan persoalan yang besar iaitu perikemanusiaan yang universal sifatnya. Mesej kemanusiaan ini disampaikan menerusi watak utamanya, Leman – seorang anak muda yang memiliki rasa kemanusiaan yang sangat unggul.
Sewaktu menempuh segala dugaan dan cabaran pada zaman inilah beliau mula membuahkan segala perasaannya di atas kertas dengan pena yang tajam.  Kesedaran ini telah menjadi penentuan kerjaya beliau  sebenar yang tersemat di hatinya.




Turunnya Sebuah Bendera (2007), ISBN 978-983-3742-01-1
18 buah cerpen  menarik  yang memberi gambaran tentang situasi kehidupan rakyat sebelum, sewaktu dan sesudah Merdeka. ‘Turunnya Sebuah Bendera’ diangkat sebagai tajuk antologi cerpen ini kerana ia merupakan puncak semangat Merdeka yang mewakili cerpen-cerpen yang lain yang dimuatkan dalam buku ini.
Penghormatan buku ini adalah kepada tema sambutan 50 tahun kemerdekaan negara kita. Visi buku ini adalah untuk memberi gambaran jelas kepada anak-anak generasi selepas Merdeka untuk mengenal kepahitan hidup ibu, ayah, nenek, moyang mereka pada zaman sebelum Merdeka.
Ceritera dari kompilasi cerpen-cerpen ini,  separuhnya belum pernah dibukukan lagi.  Perasaan apresiasi atas pengorbanan yang selalu diambil mudah dan tidak dipedulikan oleh anak-anak generasi kini dapat dihayati,  disedari dan dihormati.  Minda mereka akan lebih terbuka dan negara mendapat generasi baru yang lebih berwibawa.
Sahabatku; Puisi-puisi 5 Bahasa (2009), ISBN 978-983-3742-06-6
Sebuah buku penghormatan sempena menyambut hari lahir  yang ke 80, pada 12hb Julai, 2009, Sasterawan Negara Malaysia yang ketiga, Usman Awang.  Beliau telah meninggal dunia pada 29hb November 2001.  Buku khas ini memaparkan 12 buah puisi karya beliau yang mencerminkan watak dan peribadinya sebagai seorang lelaki, kekasih, ayah dan sahabat.
Beliau adalah seorang penyair yang cinta pada manusia, tanahair, alam dan berjuang dengan mata penanya demi kesaksamaan sejagat. Puisi-puisi ini diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, Bahasa Madarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Iban sebagaimana yang diimpikan Usman Awang. Beliau idamkan satu bangsa Malaysia dari dulu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan