Khamis, 19 Julai 2012

Sejarah Penubuhan Sekolah


SEJARAH PENUBUHAN
SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA JAYA
Sekolah Kebangsaan Kota Jaya mula dibuka pada 1 Disember 1994.  Ia terletak kira-kira 4 kilometer dari Bandar Kota Tinggi.  Sekolah ini diapit oleh 3 buah sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kota Tinggi, Sekolah Menengah Teknik Kota Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi.  Walaupun sekolah ini terletak di Jalan Bunga Raya, Kota Kecil, namun pada asalnya pelajar-pelajar di sekolah ini adalah terdiri daripada anak-anak penghuni perumahan Taman Kota Jaya yang berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.
            Sekolah Kebangsaan Kota Jaya dibina di atas kawasan seluas 2 ekar.  Ia terdiri daripada 2 blok bangunan tiga tingkat dan sebuah kantin.  Sekolah ini juga mempunyai 4 kelas Pendidikan Khas untuk pelajar bermasalah pembelajaran di Kota Tinggi.  Kelas Pendidikan Khas ini telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kota Jaya pada tahun 1997 dari Sekolah Kebangsaan Bandar Kota Tinggi.
            Mulai tahun 2002, Sekolah Kebangsaan Kota Jaya telah mengalami perubahan yang ketara di mana pengurangan murid berlaku iaitu dari 785 orang kepada 440 orang.  Ini disebabkan pelajar-pelajarnya yang beralamat di Taman Kota Jaya telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya yang baru dibuka mulai tahun 2002.  Pada ketika itu murid-murid Sekolah Kebangsaan Kota Jaya terdiri daripada anak-anak penduduk sekitar Kampung Jawa, Berek JKR, Taman Kota, Batu 2, Taman Hijrah dan Berek Polis.            
            Pada …………  nama Sekolah Kebangsaan Kota Jaya telah ditukarkan secara rasmi kepada Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang Kota Tinggi mengambil sempena nama Tokoh Sasterawan Negara yang berasal dari Tanjung Sedili Kota Tinggi.
SEJARAH GURU BESAR SK DATUK USMAN AWANG KOTA TINGGI
Encik Mohd Don bin Hj. Samian merupakan Guru Besar pertama Sekolah Kebangsaan Kota Jaya.  Beliau telah bertugas dari 1 Disember 1994 hingga 27 Februari 1996.  Bermula dari 15 kelas dan bilangan murid seramai 545 orang, guru seramai 28 orang dan kakitangan sekolah seramai 3 orang.  Pada tanggal 11 April 1996, sekolah ini telah bertukar Guru Besar baru iaitu Encik Mohd Noor bin Mohd Yassin hinggalah 15 Jun 2000. 
            Guru Besar ketiga ialah Encik Roslan bin Hayon dari 16 Jun 2000 hingga 15 Mei 2001 kemudian diganti pula oleh Puan Saodah bte Abd. Aziz mulai 17 Mei 2001 hingga 31 Mei 2002.  Bermula pada 1 Jun 2002 hingga 30 Jun 2004, sekolah ini dipimpin oleh Encik Abdul Rasid bin Talib.  Walaupun sentiasa bertukar Guru Besar, namun Sekolah Kebangsaan Kota Jaya tetap unggul dan sering kali mencipta kejayaan demi kejayaan contohnya, memenangi anugerah tempat ketiga Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Johor 2001 dan anugerah akademik terbaik daerah Kota Tinggi 2002.
            Pada 1 Julai 2004 seorang guru yang cukup sinonim dengan Sekolah Kebangsaan Kota Jaya telah diberikan amanah sebagai Guru Besar.  Beliau ialah Tuan Haji Ali bin Jaafar yang telah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kota Jaya sejak ia ditubuhkan pada tahun 1994.  Pada ketika itu beliau memegang jawatan Guru Penolong Kanan 1 lantikan dalaman, kemudian sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu.  Pada awal perlantikannya sebagai Guru Besar, beliau ditugaskan di Sekolah Kebangsaan Kledang (1 Jun 2004 hingga 30 Jun 2004).  1 Julai 2004 merupakan tarikh permulaan beliau kembali ke Sekolah Kebangsaan Kota Jaya sebagai seorang Guru Besar.   Pada 30 September 2011 Tuan Haji Ali bin Jaafar telah bersara dan tempatnya digantikan oleh Puan Hajah Aziah binti Samsudin sebagai Guru Besar yang ketujuh Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Kota Jaya, Kota Tinggi.




            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan